10 Khasiat Buah Pala

10 Khasiat Buah Pala | Kalau sebut Jeruk Pak Ali, pasti ramai yang terliur dengan keenakan jeruk dari pelbagai jenis buah-buahan termasuk buah pala yang rasanya agak berangin. Tapi ramai yang tidak begitu mengenali rupa buah pala sebenar atau buah pala yang tua dan dikeringkan serta digunakan dalam masakan. Buah pala pernah menjadi antara bahan rempah yang paling direbuti suatu ketika dahulu ketika zaman kolonialisme.

10 Khasiat Buah Pala

10 Khasiat Buah Pala


Bagaimanakah rempah buah pala dihasilkan?

Buah pala adalah rempah yang diperbuat daripada benih atau biji pokok pala atau dengan nama saintifiknya, Myristica fragrans. Pohon hijau yang berasal dari Indonesia ini adalah sumber kepada dua jenis rempah iaitu biji pala dan mace; selaput berwarna merah yang meliputi biji pala tersebut. Walaupun rasa keduanya hampir sama, biji pala dikatakan mempunyai rasa yang lebih hangat, dan lebih pedas berbanding daripada mace.

Bijinya dikeringkan secara perlahan-lahan dibawah cahaya matahari dalam tempoh selama enam hingga lapan minggu. Pada masa ini, buah pala mengecut daripada biji benih yang keras sehinggalah lapisan kernel didalamnya boleh menghasilkan bunyi apabila digoncang apabila telah kering sepenuhnya.


Kandungan nutrisi buah pala

Buah ini mengandungi pelbagai kandungan nutrisi yang baik untuk kesihatan manusia. Bagi setiap 100 gram hidangan buah pala, ia mengandungi:

Air: 6.23 gram

Tenaga: 525 kcal

Protein: 5.84 gram

Jumlah lipid (lemak): 36.31 gram

Karbohidrat: 49.29 gram

Serat: 20.8 gram

Gula: 2.99 gram

Kalsium: 184 miligram

Zat besi: 3.04 miligram

Magnesium: 183 miligram

Fosforus: 213 miligram

Kalium: 350 miligram

Garam: 16 miligram


10 Khasiat Buah Pala


1. Mengandungi antioksidan yang baik

Biji pala adalah kaya dengan sebatian tumbuhan yang bertindak sebagai antioksidan dalam tubuh anda. Antioksidan adalah sebatian yang melindungi sel anda daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Radikal bebas adalah molekul-molekul yang mempunyai elektron yang tidak berpasangan, yang menjadikannya tidak stabil dan reaktif.

Apabila tahap radikal bebas menjadi terlalu tinggi dalam badan anda, tekanan oksidatif akan berlaku. Ia dikaitkan dengan permulaan dan perkembangan banyak keadaan kronik, seperti kanser tertentu, penyakit jantung dan penyakit neurodegeneratif. Antioksidan meneutralkan radikal bebas, menghalang kerosakan sel dan mengekalkan tahap radikal bebas tubuh anda.

Buah pala mengandungi banyak kandungan antioksidan, termasuk pigmen tumbuhan seperti cyanidin, minyak pati seperti phenylpropanoid dan terpenes, dan juga sebatian fenolik termasuklah asid protocatechuic, ferulik, dan kafein. Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan menunjukkan bahawa dengan mengambil ekstrak buah pala, ia boleh menghalang kerosakan sel dalam tikus yang dirawat dengan isoproterenol, ubat yang dikenali untuk mendorong tekanan oksidatif yang teruk. Tikus yang tidak menerima ekstrak buah pala mengalami kerosakan tisu dan kematian sel secara signifikan. Sebaliknya, tikus yang menerima ekstrak buah pala tidak mengalami kesan ini.

Kajian yang dijalankan melalui tabung uji juga menunjukkan bahawa ekstrak buah ini menunjukkan kesan antioksidan yang kuat terhadap radikal bebas.


2. Mempunyai sifat anti-keradangan

Keradangan yang kronik dikaitkan dengan pelbagai keadaan kesihatan yang teruk, seperti penyakit jantung, diabetes, dan arthritis. Buah pala kaya dengan sebatian anti-radang yang disebut monoterpenes, termasuklah sabinene, terpineol, dan pinene. Sebatian ini boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan anda dan memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai masalah keradangan.

Tambahan lagi, pelbagai antioksidan yang terdapat dalam buah ini seperti cyanidin dan sebatian fenolik, juga mempunyai ciri-ciri anti-radang yang kuat. Satu kajian telah dijalankan dengan menyuntik tikus dengan campuran bahan yang mewujudkan keradangan dan kemudiannya memberikan sedikit minyak pala. Tikus yang diberikan dengan minyak pala mengalami pengurangan ketara dalam masalah keradangan, kesakitan berkaitan keradangan, dan pembengkakan sendi. Buah ini mengurangkan keradangan dengan cara menghalang enzim yang menggalakkan keradangan untuk berlaku. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan untuk menyiasat kesan anti-radang terhadap manusia.


3. Mempunyai sifat antibakteria

Buah pala telah terbukti mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria yang berpotensi membahayakan kesihatan manusia. Bakteria seperti Streptococcus mutans dan Agregatibacter actinomycetemcomitans boleh menyebabkan kaviti pada gigi dan penyakit gusi. Kajian yang dijalankan melalui tabung uji mendapati bahawa ekstrak buah ini telah menunjukkan kesan antibakteria yang kuat terhadap bakteria-bakteria ini dan bakteria lain, termasuklah Porphyromonas gingivalis. Bakteria ini diketahui menyebabkan kaviti dan keradangan gusi.

Buah ini juga didapati boleh menghalang pertumbuhan bakteria E. coli yang berbahaya, seperti O157, yang boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan juga kematian terhadap manusia.

Walaupun buah ini jelas mempunyai sifat antibakteria, lebih banyak kajian terhadap manusia diperlukan untuk menentukan sama ada ia boleh merawat jangkitan bakteria atau mencegah masalah kesihatan mulut berkaitan bakteria pada manusia.


4. Mengurangkan kesakitan

Individu yang menderita penyakit kronik seperti kanser, penyakit keradangan dan diabetes sering mengalami kesakitan yang berterusan. Menurut National Center for Biotechnology Information, U.S. National Library of Medicine, minyak buah ini yang dihasilkan daripada biji buahnya, telah terbukti fungsinya sebagai analgesik dan memberikan kelegaan terhadap penyakit kronik.


5. Melegakan insomnia

Selama berabad-abad, buah ini disarankan untuk digunakan sebagai remedi bagi masalah tidur dan insomnia. Caranya adalah dengan meletakkan secubit serbuk buah ini kedalam susu dan meminumnya sebelum tidur.

Ujian (uncontrolled trial) yang telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik terhadap seramai 251 orang pesakit. Mereka diberikan dengan kapsul herba yang mengandungi serbuk pala. Para pesakit menerima kapsul tersebut selama 4 minggu secara teratur. Kesemua pesakit yang mengambil bahagian dalam penyelidikan itu menyedari bahawa mereka merasakan perubahan dalam tahap kelemahan dan insomnia. Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan juga mencadangkan bahawa ekstrak pala membantu meningkatkan tempoh tidur.


6. Berkesan terhadap kesihatan oral

Satu kajian pada tahun 2012 telah menunjukkan bahawa pala mempunyai sifat antibakteria dan mempunyai potensi untuk menghalang aktiviti bakteria seperti Porphyromonas gingivalis yang menyebabkan periodontitis dan Streptococcus mutans yang berkaitan dengan kerosakan gigi.

Tambahan pula, menurut penerbitan oleh Chemistry of Spice oleh Valtcho D. Jeliazkov (Zheljazkov), asid myristic dan trimyristin yang terdapat dalam pala juga menunjukkan aktiviti antibakteria yang baik. Ekstrak metanol yang terdapat dalam pala pula mempunyai sifat anti karies dan membantu mencegah kerosakan gigi dan karies gigi. Macelignan, agen antibakteria lain yang terdapat di rempah ini, juga membantu menghalang aktiviti bakteria yang menyebabkan kaviti.

Selain itu, satu kajian pada tahun 2016 yang diketuai oleh Wei Kevin Zhang bersama rakan penyelidikannya, yang diterbitkan dalam jurnal Food and Nutrition Research menunjukkan bahawa penggunaan minyak pala secara topikal dapat melegakan sakit gigi.


7. Mempunyai sifat antidepresi

Dalam kajian pada tahun 2012 yang dijalankan oleh Dr. Deepak Kumar Khajuria dan pasukannya, dari Kolej Farmasi Al-Ameen, Bangalore, India, mendapati bahawa ekstrak pala telah menunjukkan aktiviti antidepresan. Selain itu, ia juga mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding daripada ubat allopathic konvensional.


8. Mempunyai potensi sebagai anti kanser

Kualiti buah ini yang kurang dikenali adalah penggunaan potensinya terhadap sel kanser. Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Chemico-Biological Interactions, myristicin yang terdapat dalam pala mempunyai sifat-sifat menghalang pembentukan sel kanser. Ia didapati menyebabkan kematian sel (apoptosis) dalam sel-sel leukemia. Hal ini dapat membantu mencegah pertumbuhan sel-sel kanser dan metastasis leukemia yang biasanya memberi kesan terhadap kanak-kanak.


9. Baik untuk penjagaan kulit yang cantik

Menurut kajian yang dilaksanakan pada tahun 2016, buah pala telah menunjukkan tindak balas positif dalam merawat jangkitan kulit. Menariknya, penyelidikan tersebut telah mendapati bahawa buah pala dan sebatian bioaktif yang didapati daripada seperti macelignan membantu melambatkan penuaan pramatang yang disebabkan oleh pendedahan yang berpanjangan kepada cahaya ultraviolet (UV). Minyak buah ini turut mendapat perhatian disebabkan oleh sifat-sifatnya yang bermanfaat terhadap kulit.


10. Berpotensi melegakan cirit birit

Menurut Llewellyn’s Complete Book of Ayurveda, buah pala telah biasa digunakan dalam memberikan kelegaan daripada cirit-birit. Ia kaya dengan sifat carminative dan membantu menggalakkan pencernaan. Ia boleh digunakan secara topikal atau dimakan dengan halia dan air sejuk.

Satu kajian yang dijalankan dan diterbitkan dalam jurnal Methods and Findings in Experimental and Clinical Pharmacology telah menunjukkan bahawa buah pala boleh mengurangkan najis berbentuk cecair. Oleh itu, ekstrak pala boleh dianggap mengandungi kesan antidiarrhea yang baik.


Kesan sampingan pengambilan buah pala

Terdapat beberapa kesan sampingan buah pala jika diambil dalam kuantiti yang banyak. Ia mengandungi sebatian myristicin dan safrole. Apabila ia diambil dalam jumlah yang banyak, ia boleh menyebabkan simptom seperti halusinasi dan kehilangan koordinasi otot.

Buah ini kadangkala diambil sebagai dadah keseronokan untuk mendorong perasaan halusinasi dan menyebabkan rasa “high”. Ia sering dicampur dengan dadah halusinogen lain, yang meningkatkan risiko kesan sampingan berbahaya.

Antara tahun 2001 hingga 2011, sebanyak 32 kes ketoksikan buah pala telah dilaporkan di negeri Illinois, Amerika Syarikat sahaja. Sekurang-kurangnya 47% daripada kes-kes ini berkaitan dengan pemakanan yang disengajakan oleh mereka yang menggunakan pala disebabkan oleh kesan psikoaktifnya.

Myristicin, komponen utama minyak pati yang terdapat dalam buah pala yang mempunyai sifat psikoaktif yang kuat, dianggap sebagai penyebab terhadap kesan toksik ini. Kesan kemabukan pala pula telah dilaporkan dalam kalangan individu yang telah menelan 5 gram pala, yang sepadan dengan kira-kira 0.5 – 0.9 mg myristicin per paun (1 – 2 mg per kg) berat badan.

Ketoksikan pala boleh menyebabkan simptom yang serius, seperti degupan jantung yang pantas, mual, muntah-muntah, dan fikiran yang terganggu. Ia mungkin membawa kepada kematian apabila digabungkan dengan jenis dadah yang lain.

Selain itu, kajian yang dijalankan terhadap tikus telah menunjukkan bahawa dengan pengambilan suplemen pala dengan dos yang tinggi pala dalam jangka panjang boleh membawa kepada kerosakan organ. Walau bagaimanapun, kajian ini terhad terhadap tikus sahaja dan tidak pasti sama ada ia turut memberi kesan terhadap manusia.

Keadaan toksik rempah ini hanya berkaitan dengan pengambilan dalam jumlah yang tinggi dan bukanlah dalam jumlah yang kecil seperti yang sering digunakan dalam masakan dan penyediaan hidangan. Untuk mengelakkan kesan sampingan yang berbahaya ini, elakkan daripada memakan sejumlah besar buah pala dan elakkan daripada menggunakannya sebagai dadah untuk tujuan keseronokan.


Penggunaan buah pala dalam bidang kulinari


Rempah biji buah ini mempunyai aroma pedas dan rasa yang sedikit manis, dan disebabkan oleh rasanya, ia digunakan secara meluas dalam masakan di seluruh dunia. Buah pala digunakan dan ditemui dalam pelbagai bentuk seperti minyak pati, serbuk, dan ekstrak. Manakala bagi biji pala yang telah dikisar dan dihaluskan digunakan dalam banyak tujuan seperti pembuatan kek dan roti, puding, snek atau pencuci mulut, minuman, pai labu atau pai epal, selain ia turut digunakan dalam pembuatan mentega pala.

Dalam masakan India, serbuk pala digunakan secara eksklusif dalam penyediaan hidangan manis. Ia dikenali sebagai Jaiphal di kebanyakan bahagian India dan Jathi di bahagian Kerala. Ia juga boleh digunakan dengan kuantiti kecil dalam campuran garam masala.

Dalam masakan Timur Tengah, serbuk pala sering digunakan sebagai rempah untuk hidangan yang lazat. Dalam bahasa Arab, pala dipanggil Jawz at-Tiyb.

Dalam masakan Eropah, buah pala dan pudina digunakan terutamanya dalam hidangan kentang dan dalam produk daging yang diproses. Ia turut digunakan dalam hidangan sup, sos, dan produk-produk bakeri. Dalam masakan Belanda, pala cukup popular dan ditambah kedalam hidangan sayur-sayuran seperti Brussels sprouts dan kubis bunga.

Bahagian pericarp (buah / pod) buah pala ini digunakan di Grenada untuk membuat jem yang dinamakan morne delice. Di Indonesia, buahnya dihiris dengan halus dan kemudiannya dimasak untuk dijadikan manisan. Jika di Malaysia, ia lebih popular dijadikan sebagai jeruk.

Buah pala sememangnya bermanfaat untuk kesihatan tubuh manusia jika diambil dalam jumlah yang kecil dan sederhana. Elakkan daripada mengambilnya dalam jumlah yang terlalu tinggi kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang buruk terhadap tubuh badan anda.


Sejarah perdagangan buah pala

Pokok buah pala berasal dari gugusan kepulauan Banda, wilayah Maluku yang terkenal sebagai kepulauan rempah di Indonesia. Pada masa dahulu, ia adalah sejenis rempah yang sangat jarang didapati dan sehingga abad ke 19, ia hanya tumbuh di 11 gugusan kepulauan Banda tersebut yang menyebabkan harganya menjadi tinggi. Kebanyakan pedagang yang membawa buah ini ke Eropah merahsiakan sumber dari mana mereka mendapatinya agar harganya kekal tinggi. Sehinggalah pada tahun 1493, kerajaan Uthmaniyah menutup pintu masuk antara Asia dan Eropah melalui Konstantinopel yang kini dikenali dengan nama Istanbul, Turki. Pada ketika itu, buah pala tidak lagi memasuki jalan perdagangannya ke benua Eropah.

Disebabkan hal ini, ramai pelaut dan penjelajah Barat menjalankan ekspedisi mencari sumber buah pala. Penjelajah-penjelajah Portugis adalah kelompok pertama yang menemui kepulauan Banda pada tahun 1511, yang merupakan kawasan sumber pokok buah pala. Pada ketika itu, pihak Portugis telah mengawal perdagangan buah ini selama hampir satu abad lamanya. Ya, buah ini menjadi rebutan banyak pihak yang akhirnya menyebabkan peperangan bagi merebut sumbernya. Pelayar-pelayar Belanda dan Inggeris datang ke kepulauan Banda dalam usaha mereka untuk merebut kawalan keatas kepulauan tersebut daripada Portugis. 

Pihak Belanda melalui syarikat perdagangan mereka, Syarikat Hindia Timur Belanda, yang lebih dikenali dengan singkatan VOC, telah mengalahkan pihak Portugis pada tahun 1603. Penjelajah Inggeris pula berjaya merebut dan mengawal dua pulau kecil yang bernama Ai dan Rhun. Ketika mana pihak Belanda tiba di kepulauan Banda, pulau-pulau disana sememangnya telah dihuni oleh penduduk asalnya dengan bilangan sekitar 15,000 orang. Pihak Belanda telah memaksa penduduk tempatan untuk menandatangani perjanjian yang hanya merugikan penduduk tempatan. Perjanjian tersebut memberikan pihak Belanda penguasaan sepenuhnya keatas perdagangan buah pala dengan bayaran tetap yang rendah. 

Percaya atau tidak, disebabkan oleh hal ini dan pelbagai perkara lain yang berlaku, seramai 40 orang ketua penduduk tempatan telah dibunuh dan lebih ramai lagi penduduk tersebut yang telah terkorban. Akibat daripada dasar pendudukan dan pengawalan perdagangan Belanda ini, populasi asal kepulauan Banda telah menurun sehingga mencapai angka sekitar 600 orang sahaja. Perebutan untuk mengawal perdagangan rempah ini telah menjadikannya antara rempah yang mempunyai sejarah yang paling tragis.

sumber: https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/buah-pala-rempah-berharga/